Teks khutbah sempena Misi Lifeline 4 Gaza untuk menerobos tembok kematian.

اَلْحَمْدُللهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِوَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُفِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُالْخَبِيْرُ.
أَشْهَدُأَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُلآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّسَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُوَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّصَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىآلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّابَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ!اِتَّقُوْااللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّإِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Khatib mengajak semua pada hari Jumaat yang mulia ini untuk mempertingkatkan
hubungan dengan Allah SWT., dengan muhasabah diri dan menghisab diri
sendiri apakah kita telah memenuhi tuntutan untuk bertaqwa kepada
Allah. Takwa itu bukan sekadar kata-kata tetapi tergambar pada
perbuatan dan perkataan. Sebagaimana yang digambarkan oleh Umar
al-Khattab, ”Takwa itu adalah ibarat engkau berjalan di satu jalan
yang penuh dengan onak dan duri.” Bagaimanakah caranya seorang itu
berjalan di atas jalan yang penuh dengan ancaman yang boleh
mencederakan seseorang? Pastilah beliau akan berjalan dengan penuh
hati-hati agar tidak terpijak duri sehingga boleh melukakan dan
mencelakakan dirinya. Inilah gambaran orang yang bertaqwa. Sikap
hati-hatinya di dalam hidup di dalam menjaga batas-batas halal dan
haram apa yang disuruh dan apa yang ditegah oleh Allah menjadikan
kehidupannya sejahtera di dunia dan apatah lagi di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Saat ini ratusan manusia dari puluhan negara sedang menggabungkan usaha
mereka di dalam satu inisiatif yang dinamakan ’Lifeline 4 Gaza’
dengan objektif untuk menerobos tembok kematian ’Jaridul Maut’
yang dipasang oleh Zionis Israel yang telah mendatangkan penderitaan
yang tidak terperikan kepada penduduk Gaza sejak empat tahun yang
lalu. Khatib ingin membawa ingatan para jamaah sekelian kepada satu
peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabatnya di
Mekah yang mirip dengan apa yang berlaku kini di Gaza. Sekiranya kita
membandingkan peristiwa sekatan dan kepungan Israel ke atas Gaza
dengan peristiwa sekatan ekonomi ke atas Rasulullah SAW dan Bani
Hashim di Shi’ib (lembah) Abu Talib maka kita akan dapati sejarah
telah berulang. Oleh kerana sejarah adalah satu ’sunnah’ iaitu
peristiwa yang berlaku atas hukum sebab dan musababnya, maka
kesudahan kepada kepungan di atas Gaza ini juga boleh dijangka. ”Dan
kamu tidak akan dapati perubahan pada sunnah Allah’. ”Berjalanlah
kamu di atas muka bumi dan saksikanlah apakah kesudahannya
orang-orang yang melampaui batas. Demikianlah kami ceritakan kepada
manusia, menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang yang bertaqwa.
Oleh itu kamu jangan merasa rendah dan merasa sedih kerana kamulah
orang yang paling tinggi darjatnya sekiranya kamu orang-orang yang
beriman.” (Al-Imran 137 – 139).

Ketika pemuka-pemuka Quraish menghadapi jalan buntu kerana tidak satupun
helah dan makar yang mereka rencanakan untuk menghentikan dakwah
Rasulullah SAW berjaya, timbul lah perancangan untuk mengenakan
tekanan kepada Rasulullah SAW dan komuniti mukminin yang minoriti
dengan menggunakan senjata ekonomi. Fitnah, serangan peribadi,
tuduhan liar, adu domba malah penyeksaan fizikal tidak sedikitpun
melemahkan jiwa umat Islam. Mereka semakin yakin dan teguh
mempertahankan iman mereka. Begitu juga dalam konteks Zionis
Israel pada hari ini yang menggunakan pelbagai strategi termasuklah
dasar pecah dan perentah, melaga-lagakan kumpulan penentang dari
kalangan rakyat Palestin, menggunakan pengaruhnya ke atas Amerika
Syarikat, tekanan PBB dan masyarakat antarabangsa ke atas rakyat
Palestin bahkan membunuh tokoh-tokoh pejuang Islam seperti Syeikh
Ahmad Yassin as-Syahid dan Dr Abdul Aziz Rantisi as-Syahid tidak
mendatangkan hasil yang diharapkan. Saf perjuangan rakyat Palestin
semakin mantap dan sokongan kepada gerakan Islam semakin padu.
Apabila pilihanraya umum diadakan di Palestin buat pertama kalinya
untuk memilih ahli-ahli legislatif (parlimen) mereka memberikan
kemenangan selesa kepada kelompok pejuang Islam yang tidak akan
bertolak ansur sedikitpun dalam soal kedudukan Masjid al-Aqsa,
kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin, hak pelarian
Palestin untuk pulang ke tanah air dan kampung halaman serta negara
Palestin yang dirampas secara tidak sah oleh pendatang Yahudi. Maka
kita dapati regim Zionis Israel telah menggunakan pendekatan yang
serupa dengan orang-orang Quraish untuk melemahkan umat Islam.

Umat islam pimpinan Rasulullah SAW semakin kuat dari sehari kesehari.
Tekanan yang dikenakan tidak berbekas, sebaliknya umat Islam semakin
kuat dengan masuk Islamnya Hamzah bin Abdul Mutalib dan Umar
al-Khattab. Sebahagian umat Islam yang berhijrah ke Habsyah pula
mendapat perlindungan dan simpati dari Raja Najasyi. Ini menyebabkan
pemimpin Quraish telah sepakat untuk melaksanakn boikot total ke atas
Rasulullah SAW dan keluarganya dari Banu Hashim dan seluruh komuniti
muslim. Pengistiharan ini telah ditulis oleh Mansur bin Akromah dan
diluluskan oleh Dewan Agung Quraish. Mulai saat itu tidak ada
siapapun di kalangan penduduk Mekah yang dibenarkan untuk berurus
niaga dan berkahwin dengan Banu Hasyim. Juga musuh-musuh Rasulullah
SAW dan umat Islam akan disokong oleh orang-orang Quraish tanpa
kecuali. Kita melihat persamaan ini pada tindak balas Israel ketika
mereka terpukul dengan kemenangan gerakan Islam HAMAS dalam
pilihanraya umum di Palestin meskipun pemimpin-pemimpin umat Islam
berjaya mereka bunuh dan puluhan ribu rakyat Palestin dipenjarakan.
Dengan memperkuda kuasa dunia, Israel mendesak Amerika
Syarikat, Rusia, Kesatuan Eropah dan PBB melalui inisiatif yang
dinamakan ’Quartet Timur Tengah’ telah mengenakan tekanan ke atas
Palestin supaya mengiktiraf Israel, menghentikan penentangan dan
bersedia untuk berdamai dengan pihak musuh yang telah merampas hak
dan tanah air mereka. Jawapan dari rakyat Palestin sudah dijangka
iaitu menolajk semua tuntutan yang menghinakan itu. Maka sama seperti
tindakan Quraish, rejim Zionis Israel mengenakan sekatan ekonomi yang
komprehensif dan menutup semua laluan dan pintu masuk ke Gaza pada
tahun 2007. Sebagaimana Shi’ib Abi Talib pada zaman Rasulullah
menjadi penjara begitu jugalah Gaza yang berukuran lebih sedikit dari
400 km persegi bertukar menjadi penjara terbesar di dunia. Bermula
dari tahun 2007 sehingga kini, Gaza merupakan penjara terbuka (open
air prison) untuk sekitar 1.5 juta rakyat Palestin.

Penderitaan rakyat Gaza tidak mungkin tergambar dengan kata-kata. Bekalan makanan
terpaksa dicatu dan bekalan ubat-ubatan terputus sama sekali. Hampir
80% dari kanak-kanak Gaza mengalami malnutrition atau kekurangan zat
makanan. Kita dimaklumkan dalam keadaan terputus bekalan makanan ada
keluarga yang mengutip rumput dijalanan dan direbus untuk meredakan
tangisan anak-anak yang pedih perut kerana kelaparan. Dalam keadaan
terkepung dan tidak mendapat perlindungan mereka diserang pula secara
bertalu-talu dengan sangat biadap pada awal tahun 2009 sehingga
membunuh sekitar 1,500 orang rakyat awam. Rumah-rumah, masjid,
pejabat kerajaan, hospital, sekolah, universiti, kilang bahkan
pejabat PBB menjadi sasaran bedilan tentera Israel. Walaupun sudah
setahun lebih serangan biadap tersebut berlaku namun sehingga kini
mereka tidak berdaya untuk membaik pulih dan membina semula bangunan
yang runtuh kerana tidak ada bahan binaan yang dibenarkan masuk ke
Gaza.

Senario ini menyamai apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW di Shi’ib Abi
Talib. Oleh kerana terputus bekalan makanan maka umat Islam hanya
memakan sebiji kurma atau separuh biji kurma sehari. Adakalanya
mereka tidak punya sebarang makanan untuk mengalas perut yang
kelaparan. Seperti yang diceritakan oleh Saad bin Abi Waqash. ”Pada
satu hari aku keluar ke lembah dan aku terjumpa kulit unta yang telah
kering. Lalu aku bakar dan racik, selepas itu aku rendam dalam air
dan itulah makanan aku untuk selama tiga hari.”

Tangisan kanak-kanak yang kelaparan di malam hari telah menimbulkan simpati
yang mendalam di kalangan orang-orang Quraish yang masih lembut
hatinya. Di kalangan mereka seperti Hakim bin Hizam, Abul Ash bin
Rabi’ dan Hisyam bin Umar. Mereka seringkali memunggah unta mereka
dengan bekalan makanan dan membawa unta-unta tersebut ke lembah
Shi’ib Abi Talib dengan harapan bekalan tersebut sampai ke tangan
umat Islam. Namun kawalan ketat yang dibuat oleh peronda Quraish
seringkali menggagalkan usaha ini. Sering juga mereka bertembung
dengan Abu Jahal sehingga mencetuskan perbalahan di antara mereka.
Semakin lama simpati di kalangan orang-orang Quraish semakin mendalam
dan akhirnya menjadi gelombang protes yang tidak dapat dibendung oleh
orang-orang yang berkeras untuk meneruskan boikot. Mereka bertanya
sesama sendiri ”wajarkah tuan makan makanan yang terbaik sementara
kerabat tuan dalam kebuluran dan tidak berpakaian.” Sebahagian yang
lain pula berkata ’Jika saya bersendirian maka saya tidak berupaya
untuk menghadapi Quraish, tetapi jika orang yang bergabung dengan
saya maka saya tidak teragak-agak untuk mengoyak penjanjian sekatan
di kaabah.”. Bergabunglah beberapa orang Quraish di antara mereka
Hisyam bin Umayr, Zuhair bin Abi Umayah, Mut’am bin Adi, Abul
Bakhtari dan Zam’ah. Mereka berlima mengistiharkan pembatalan
perjanjian sekatan dengan sokongan ramai orang-orang Quraish yang
lain sehingga tidak dapat dibantah oleh Abu Jahal. Mereka berhasrat
untuk mengoyakkan surat perjanjian tersebut tetapi mendapatinya
telahpun dimakan anai-anai kecuali pada ayat yang tertulis ’Dengan
Nama Allah”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Hari ini penderitaan yang ditanggung
oleh rakyat Gaza sejak sekian lama telah mula membina simpati
masyarakat antarabangsa. Sebagai manusia yang mempunyai hati dan
perasaan mereka merasai apa yang dirasai oleh orang-orang Quraish
ketika Rasulullah SAW dan umat Islam dikepung di Shi’ib Abi Talib.
Hari ini hampir 700 orang sedang berkampung Antalia, Turki untuk
menaiki kapal yang akan membawa mereka masuk menerobos tembok
kematian Gaza. Mereka datang dari lebih 40 negara samada muslim atau
bukan muslim dengan satu tujuan untuk membuka sekatan kejam yang
dideritai oleh rakyat Gaza. Sebagaimana Hakim bin Hizam mereka
membawa makanan, ubat-ubatan, alat-alat tulis dan persekolahan,
alat-alat sukan dan permainan, gen-set, peralatan perubatan dan
bahan-bahan binaan di atas sembilan buah kapal yang akan belayar
ataupun sudah berlepas ke Gaza. Sebagaimana Abu Bakhtari dan
orang-orang Quraish yang lain mereka datang dengan satu message yang
tegas bahawa mereka tidak redha dengan kezaliman yang ditimpakan ke
atas sauadar-saudara kita di Gaza dan tidak ada suatupun yang akan
menghalang mereka untuk menghentikan sekatan itu. Sebagaimana yang
disebut oleh ketua delegasi sukarelawan Malaysia seramai 11 orang
yang akan bersama misi kemanusiaan Lifeline 4 Gaza di atas kapal Mavi
Marmara iaitu ’Mereka tetap akan sampai ke Gaza meskipun harus
berenang ke sana’. Meskipun Israel mengumumkan pelbagai bentuk
ancaman termasuklah memaksa kapal-kapal itu mendarat di Israel di
mana sebuah penjara besar disediakan di Ashkalon untuk memenjarakan
kesemua sukarelawan yang menyertai misi ini, ketua penganjur Lifelne
4 Gaza dari IHH Turki menegaskan bahawa ’Pelan A ialah kami akan
memasuki Gaza, Pelan B kami akan memasuki Gaza dan Pelan C kami akan
memasuki Gaza’.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah. Yakinlah bahawa perjuangan untuk
pembebasan bumi Palestin, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa akan
diterajui sendiri oleh Allah SWT. Allah SWT akan menggerakkan
jundi-jundi (tentera-tenteranya ) untuk menghadapi musuh-musuh Allah
dan umat Islam. Allah SWT akan menggerakkan dhamir umat manusia
meskipun mereka dari kalangan bukan muslim untuk bersama mendukong
misi yang mulia ini. Bahkan mereka bersama dengan saudara-saudara
muslim di dalam misi berbahaya ini tidak gentar untuk menghadapi
sebarang kemungkinan termasuklah diserang secara ketenteraan oleh
pihak Israel. Bagi saudara-saudara kita yang menyertai misi ini
mereka sudah tekad untuk mewakafkan jiwa mereka untuk memenangkan
Islam. Bagi mereka syahid adalah sesuatu yang mereka dambakan. Semuga
Allah menguatkan hati mereka dan hati kita semua kepada Islam dan
perjuangannya. Semuga Allah memenangkan Islam dan menjayakan misi
ini. Bagi kita yang menyaksikan peristiwa penting ini dari jauh
marilah kita hayati amanat sahabat-sahabat yang kini sedang berdepan
dengan musuh Allah dan Rasulnya di lautan samudera luas terbentang

“Sebagaimana kita sedia maklum terdapat pelbagai kemungkinan pengakhiran misi ini
dan Allah jua yang maha mengetahui. Pohon doa pengakhiran yang
terbaik bagi misi dan ahli-ahlinya serta semua yang ditinggalkan.
Pengakhiran terbaik bagi pejuang tidak syak lagi adalah pengakhiran
syahid.”

“Doakan kami, sahabat-sahabatku yang diredhai Allah untuk yang terbaik kepada
misi ini dan juga saudara-saudara kita di Palestin. Semoga kita akan
bertemu di tempat yang terbaik di akhirat nanti. Kepada Allah kita
berserah.”

“Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah
perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah
tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada.”

“Jangan biarkan darah yang gugur di bumi Al-Aqsa menjadi hujah menentang kita
di hadapan Allah atas kelalaian, kemalasan dan kejumudan amalan-amalan kita.”

“Ya Allah! Bantulah kami”

وَمَالَكُمْ لاَ تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاء وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَـذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَوَلِيًّا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَنَصِيرًا
4:75
"Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah
baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa: ""Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!""."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Kita diperingatkan oleh Allah SWT di dalam al quran,

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُأُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

9:71
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Sesungguhnya membantu saudara seislam yang diserang, dizalimi dan ditindas oleh
musuh-musuhnya adalah merupakan satu tuntutan ukhuwah. Tuntutan
ukhuwah di Dalam Islam tidak mengenal batas-batas Negara, bangsa dan
keturunan. Selama mana seseorng itu mengucap kalimah syahadah maka
dia ada saudara dalam Islam yang wajib dibela dan dipertahankan. Jika
dia disakiti dan dianiaya menjadi tanggungjawab umat Islam untuk
merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan
tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan
ke atas dirinya. Ini adalah kerana Rasulullah SAW bersabda yang
membawa maksud:

“Umat Islam adalah ibarat satu tubuh. Jika sebahagian tubuh merasa sakit
maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur
malam.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Atas rasa tanggungjawab dan prihatin yang amat mendalam terhadap kezaliman
yang sedang berlaku ke atas umat Islam, khatib mengsyorkan beberapa
tindakan praktikal yang boleh dilakukan oleh umat Islam.

Pertama, khatib menyeru umat Islam supaya bermunajat kepada Allah SWT dengan
sungguh-sungguh agar Allah mengeluarkan kita dari keadaan yang lemah
ini dan mengampuni kealpaan selama ini. Seterusnya kita memohon
kepada Allah agar memberi kekuatan kepada seluruh umat Islam supaya
bangkit dari kelemahan ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam.
Seterusnya secara khusus kita memohon kepada Allah agar diberikan
kemenangan ke atas umat Islam di Palestin ke atas musuh-musuh zionis
yahudi.

Kedua, khatib mengsyorkan agar setiap kariah dan kawasan mngadakan solat
hajatperdana memohon kepada Allah agar saudara-saudara yang
menyertai misi Lifeline 4 gaza dan saudara kita di Palestin
diselamatkan dari kejahatan musuh-musuh zionis dan memenangkan mereka
dengan ‘karamah’ dari Allah SWT. Kita yakin golongan yang
dizalimi dan teraniaya pasti didengari doa mereka dan akan mendapat
pertolongan Allah SWT.

Ketiga khatib mengsyorkan agar umat Islam tidak teragak-agak untuk
menghulurkan bantuan kewangan kepada suadara-saudaranya di Palestin.
Ini bersesuaian dengan anjuran Allah SWT agar umat Islam berjihad
dengan harta dan jiwa raga mereka. Firman Allah SWT dari surah as
Saff


يَـٰٓأَيُّہَاٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ
وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)
“Wahai orang yang beriman. Sukakah kamu diberitahu satu perniagaan yang
dapat menyelamatkan kamu dari seksa api neraka iaitu kamu beriman
dengan Allah dan Rasulnya, dan berjihad pada jalannya dengan
harta-harta kamu dan jiwa raga kamu. Itulah yang baik bagi kamu jika
kamu mengetahui.

Akhirnya khatib ingin mengingatkan umat Islam bahawa kezaliman dan
penganiayaan itu menimpa bumi yang diberkati, bumi para Nabi, bumi
Isra’ dan mikraj dan bumi di mana terletak masjid al Aqsa yang
dimuliakan Allah SWT di samping masjid al Haram dan masjid a-Nabawi.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْبِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِالْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُالْعَلِيْمُ.
أَقُوْلُقَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ
الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

Disediakan oleh

Dr Hafidzi Mohd Noor




PACE
(Palestine Centre of Excellence)

Comments

Popular posts from this blog

Masjid Populer Di Jerman

Mengenai Masjid Al Mukarramah

Malu Pada Subuh Mereka