Menongkah Arus Sg Tembeling

Sekumpulan 20 orang jantan-jantan tulen Jemaah Masjid Bandar Sri Damansara pada 2hb April 2010 telah bersepakat untuk membawa diri seketika, jauh dari kesibukan dan hiruk pekok kota Kuala Lumpur, bagi mencari sedikit kedamaian guna untuk mengubat segala tekanan yang telah lama menghantui mereka.


Suatu kawasan nun ditengah belantara Tanah Melayu telah menjadi pilihan. Kawasan tersebut adalah Kuala Keniam, Ulu Tembeling, Pahang. Sebuah kawasan hutan tropika yang hanya dihuni oleh haiwan-haiwan, alir sungai dan pepohon liar yang tiada simpati dengan sesiapa pun yang berani mencabar nya.


Namun jantan-jantan tulen ini tidak mudah pasrah biar di lautan, di gunung, di belantara maupun di Kota. Jantan-jantan tulen ini adalah terdiri dari:
1. Kamarul Azam Othman (Pengerusi) - Umur 38 tahun
2. Abdul Malek Hassan (Komandan) - Umur 50 tahun
3. Ahmad Ripaai Mat Noh (Quarter Master) - Umur 50 tahun
4. Dr Padzil Mat Derus (RMO) - Umur 48 tahun
5. Wan Ruzila Wan Daud - Umur 46 tahun
6. Yusof Hassan - Umur 64 Tahun
7. Shamsuddin Majid - Umur 56 tahun
8. Mior Husan Mohd Sabri - Umur 49 tahun
9. Asri - Umur 45 tahun
10. Bakar Bachik - Umur 48 tahun
11. Ghapur - Umur 46 tahun
12. Esdee - Umur 45 tahun
13. Husaini Nordin Ali - Umur 38 tahun
14. Sheikh Nawawi Ahmad Ghazali - Umur 32 tahun
15. Arif - Umur 45 tahun
16. Azman - Umur 46 tahun
17. Suhaimi Majid - Umur 48 tahun
18. Moin - Umur 49 tahun
19. Raul - Umur 25 tahun
20. Ashraf - Umur -19 tahun


Gambar sekitar perkhemahan.



Setelah mesyuarat demi mesyuarat maka akhirnya 2 April 2010 menjadi pilihan tarikh untuk 3 hari 2 malam berkhemah di Kuala Teniam, Ulu Tembeling. Kos setiap seorang telah ditentukan sebanyak RM150.00 seorang untuk perbelanjaan minyak kereta, makan minum, tambang sampan, upah perkhidmatan pemandu arah dan lain-lain.  5 buah kenderaan termasuk 2 buah pacuan empat roda telah ditentukan. Sementara menanti hari untuk berangkat maka masing-masing telah membuat persediaan yang cukup rapi dengan beg kembaranya, khemahnya, pakaiannya, bahan makanannya dan lain-lain peralatan berkaitan. Setiap orang juga telah membuat persediaan mental yang cukup rapi sehinggakan ada antara peserta tidak sabar-sabar menunggu tarikh 2 April tersebut. Hampir saban malam selepas waktu Isyak masing-masing berkumpul dan berbicara tentang perkhemahan itu nanti.


Sebenarnya masa tidak payah dinanti kerana ianya akan tetap tiba dan akhirnya tibalah pada hari tersebut.


Masing-masing selepas Solat Subuh telah berkumpul di Restoran Kasturi siap sedia dengan pelbagai peralatan menanti masa untuk berangkat. Kronologinya dapatlah diringkaskan saperti berikut:


2 April 2010


7.00 pagi - Berkumpul di Restoran Kasturi sambil menghirup teh panas sementara menanti peserta-peserta lain. Disamping itu borak-borak tentang bayangan akan keadaan tempat yang akan dituju bagi menenangkan debaran.


7.30 pagi - 5 buah kenderaan yang ditentukan telah sampai dan berkumpul dihadapan kedai Malek. Barang-barang dan peralatan dimuatkan kedalam kenderaan.


8.00 pagi - Sessi bergambar.


8.10 pagi - Sessi bacaan doa musafir dan mohon dipelihara keselamatan disampaikan oleh Ustaz Nawawi (peserta).


8.15 - Para peserta mula bergerak diketuai oleh Komandan Malek. Halangan pertama mula ditempuhi iaitu keadaan trafik untuk keluar dari Bandar Sri Damansara amat sesak. Lalu Komandan Malek mengambil keputusan untuk menggunakan laluan LDP/MRR2. Alhamdullillah, halangan ini dapat diatasi dan keadaan trafik menuju ke TOL Gombak agak selesa. Peserta melalui Lebuh Raya Timur untuk ke Simpang Keluar Temerloh/Jerantut/Taman Negara


9.45 pagi - Menyusur keluar TOL Temerloh/Jerantut/ Taman Negara dan singgah disebuah Gerai lebih kurang 3 km dari TOL Temerloh. Berhenti untuk minum dan menselesakan diri masing-masing sambil menikmati cakoi, pulut, mee, bihun dan sebagainya di Gerai tersebut diatas tanggungan dana kumpulan. Kos makan minum di Gerai ini untuk 20 orang adalah sebanyak RM45. Semasa hampir berangkat tuan punya Gerai tersebut, agaknya begitu seronok dengan tambahan rezeki hari tersebut telah sudi menjemput kesemua peserta ke Majlis Khenduri Kahwin anak beliau pada hari Ahad, 4 April 2010.


10.30 pagi Peserta mula bertolak tetapi kereta yang dipantu oleh Hj Mior Husnan masih tertangguh kerana Hj Ahmad Ripaai pergi qadha hajat. Disebabkan tertinggal agak jauh maka Hj Mior Husnan memejut untuk mengejar peserta yang dihadapan. Lebih kurang 10 minit tertinggal dibelakang. Hj Ahmad Ripaai cuba menghubungi Husaini dengan 'walkie talkie' tetapi gagal. Begitu juga dengan talipon. Tak berapa lama kemudian Hj Mior dihubungi oleh Husaini meminta lokasi dan meminta Hj Mior menambah kelajuan kerana ketinggalan agak jauh. Kami perlu segera untuk mengejar masa agar sempat untuk makan tengah hari dan Solat Jumaat di Kuala Tahan.


11.00 pagi Hj Mior dihubungi pula oleh Kamarul meminta lokasi dan memaklumkan bahwa Tn Hj Mior agak ketinggalan. Lalu Hj Mior terus memejut macam 'F1'.


12.05 T/Hari Kenderaan Hj Mior yang diisi oleh Hj AHmad Ripaai, Hj Suhaimi dan Hj Shamsuddin sampai di Jeti Kuala Tahan. Namun tidak seorang pun dari ahli pasukan lain kelihatan. Komandan Malek terus dihubungi dan rupanya mereka masih berada dibelakang kerana telah berhenti untuk menunggu kenderaan Hj Mior, namun kenderaan mereka tidak kelihatan semasa dalam perjalanan tadi. Walaubagaimanapun Hj Mior dan pasukannya telah diarahkan untuk ke sebuah Gerai di Pusat Gerai Makanan Kuala Tahan. Maka Hj Mior pun bergerak kesitu.


12.30 T/Hari Sampai di Gerai Pusat Gerai Makanan Kuala Tahan dan pasukan lain masih belum kelihatan. Pasukan Hj Mior dijemput oleh Azman wakil yang mengaturkan jamuan tengah hari. Disini kami dihidangkan dengan patin gulai tempoyak, masak lemak daging salai, sambal dan ulam-ulaman.


12.40 T/Hari Peserta-peserta Pasukan yang lain pun sampai. Tiba-tiba pasukan Hj Mior disergah oleh Hj Yusof kerana pasukan Hj Mior telah membuat mereka cemas disebabkan bergerak tidak didalam pasukan. Namun setelah diberi penjelasan maka suasana kembali menjadi tenang dan ceria. Makanan pun dinikmati dengan enak sekali. Hj Yusof naik angin agaknya selaku orang yang paling senior rasa bertanggung jawab diatas keselamatan setiap peserta. Terima kasih diatas keprihatinan Hj Yusof.


1.15 ptg Peserta bergerak ke Masjid Jamek Kuala Tahan untuk solat Jumaat.

2.15 ptg Selesai Solat Jumaat, barangan dari kenderaan biasa dipindahkan ke kenderaan pacuan 4 roda, kerana hanya kenderaan ini dapat menuruni cerun ke tebing Kuala Tahan dimana bot yang telah ditempah telah sedia menanti.

2.30 ptg Barangan dipunggah pula ke bot. 2 buah bot telah ditempah dan setiap bot dinaiki oleh 10 peserta.


2.45 ptg. Bot mula bergerak menuju ke Kuala Keniam, melalui 4 jeram dengan arus yang agak kuat. Adalah satu cabaran dan pengalaman yang sangat cemas MENONGKAH ARUS ini sehingga salah satu dari bot kami tersebut hampir tersadai disalah satu jeram. Pemandu bot terpaksa turun menolak bot tersebut namun dengan pengalaman nya ia berjaya melintasi jeram itu akhirnya. Suasana cemas agak terasa juga disaat ini. Didalam benak fikiran kami memikirkan apakah ini perhentian terkahir kami sedangkan tempat yang hendak dituju masih jauh. Sungguhpun kami berasal dari kampong tetapi telah berpuluh tahun tinggal di kota dan keadaan begini sudah tentulah agak asing dan mengngerikan, walaupun arus Sungai Tembeling ini tidaklah secabar arus kehidupan kota yang senantiasa menghanyutkan penghuninya.


Dalam perjalanan ini, pemandangan yang disajikan Allah swt kepada kami amat indah lagi mengasyikkan. Tidak berkedip mata menikmati keindahan kehijauan, ketenangan dan bunyi-bunyian haiwan belantara yang asyik bertasbih kepada Yang Maha Agung dan mungkin juga mengucap salam selamat datang kepada kami. Shingga deruan enjin bot tidak terasa oleh kami. 


Mahasuci Allah, Yang Maha Pencipta, segala puji-pujian adalah hanya untuk Allah, sesungguhnya tidaklah sia-sia Engkau menjadikan semuanya ini termasuk aku yang kerdil ini. Oleh itu jauhilah aku dari azab api neraka.


4.45 ptg Kami pun sampai ke Kuala Keniam setelah setengah jam melewati Kampong Pagi sebuah kampong dimana ekspidisi menyampaikan bantuan telah dilaksanakan kira kira beberapa bulan yang lalu oleh kebanyakan Peserta-peserta ini.

5.00 ptg Setelah meninjau beberapa kawasan tebing sungai akhirnya kami mendarat di suatu kawasan berpantai yang agak luas. Kawasan ini agak terbuka dan panas tetapi kami kira ianya baik dari sudut keselamatan. Memandangkan pula pantainya landai dan air nya agak cetek. Walaubagaimanapun kami telah dimaklumkan oleh Pemandu bot tentang beberapa lubuk dikawasan persekitaran yang dalamnya melebihi 10 kaki dan perlu berhati-hati. Pasukan terus mendarat dan segera memasang khemah, mencari buluh untuk 'hammock' dan lain-lain tugas. Keadaan agak kelam kabut kerana hari kian gelap namun semuanya siap sepenuhnya jam 6.30 ptg.

6.45 ptg Ramai dikalangan peserta telah turun ke Sungai untuk mandi dan Solat Maghrib telah diputuskan untuk dijama' takhir dalam waktu Isyak. Sementara Cef sedang sibuk memasak nasi dan menyediakan lauk-lauk yang telah dibawa.


7.30 mlm Para peserta telah kelaparan dan jamuan pun dihidangkan di tepi tebing. Bagaikan ikan piranha membaham mangsa tanpa tangguh sebaik nasi diangkat ketempat makan. Begitulah akan keadaan manusia apabila telah kenyang maka amanlah akan keadaan dan masing-masing bersantai di serata pantai sementara menunggu waktu Isyak. Unggun api pun dihidupkan untuk memberikan sedikit cahaya dalam kegelapan malam.


8.25 mlm Telah masuk waktu Isyak dan setelah Solat Isyak Jama' Maghrib, para peserta bersantai di tebing sungai sambil menghirup udara segar belantara dan menikmati langit cerah bertaburan bintang-bintang yang tidak pernah kelihatan di Kuala Lumpur. Suasana dimalam hari sungguh nyaman dan tenang. Kedengaran suara-suara haiwan rimba sesekali mungkin sedang berseloka atau sedang memuji yang Maha Agung. Bagaikan di alam fantasi tanpa risau, tanpa susah hati, tapi bunyi deringan talipon, tanpa bunyi enjin kecuali enjin bot sesekali.


Malam terus berlalu para peserta masih ditepian Sungai Tembeling dan sebahagian telah lama keluar bersama bot mencuba nasib dilubuk-lubuk ikan dipersekitaran. Rasanya bagaikan tidak mahu lelapkan mata sehingga sang mentari menyapa agar setiap detik malam di Kuala Keniam ini dinikmati sepenuhnya. Namun apakan daya kepenatan disiang hari membuatkan para peserta tewas juga dan masing-masing mengucapkan selamat malam pada jam kurang lebih pukul 2 pagi.

Sementara yang keluar mengail pulang hampir pukul 3.00 pagi. Tetapi malangnya mereka tidak beroleh rezeki besar kecuali ikan-ikan kecil.


3 April 2010


5.56 pagi Kedengaran azan subuh dialungkan oleh Saudara Kamarul Azam. Peserta dengan lemah longlai kerana hasutan Syaitan menuju ketebing Sungai. Ada yang sudah mandi diawal pagi dan ada yang hanya berwuduk dan terus bersama-sama dengan peserta lain menyahut seruan Solat.


6.15 pagi Setelah memberi salam Ustaz Nawi membaca suatu hadith Rasullallah saw mengenai orang yang petah berbicara. Selesai Solat Subuh  Chef-chef kami terus ke dapur untuk menjerang air dan menyediakan mi goreng untuk sarapan pagi.

8.00 pagi Makan dan minum pagi. Chef menyediakan mee goreng dan teh o. Setelah sarapan, sarapan yang kaki mengail terus keluar lagi mencuba nasib. Sementara yang lain dengan urusan masing-masing, ada yang terus mandi, ada yang duduk berborak-borak dan sebagainya. Sebahagian yang lain pula membina para untuk memasak kerana semalam tidak sempat untuk menyediakannya.


9.00 pagi Ada peserta yang bergegas ke sudut rimba menunaikan hajat. Yang bertugas untuk memasak bergotong royong menyediakan bahan-bahan untuk memasak. Sementara beberapa orang peserta lain telah menaiki bot untuk pergi ke Kampong Pagi, sebuah kampong yang mengambil masa lebih kurang setengah jam dengan bot dari tempat perkhemahan. Mereka pergi untuk membeli air minuman dan keperluan-keperluan tambahan.


10.00 pagi Kedengaran suara meminta tolong dari arah sungai. Rupa-rupanya Hj Yusof sudah hampir kelemasan akibat termasuk ke kawasan lubuk. Keadaan menjadi agak panik dengan jeritan yang pelbagai. Ada yang menjerit meminta tali, ada yang menjerit minta pelampong. Tetapi kebetulan Ustaz Nawi sedang mandi dekat kawasan berkaitan, terus bergegas berenang mendapatkan Hj Yusof. Raul pula dengan sepantas kilas menerpa dan menangkap nya sementara Kamarul menghulurkan sebatang kayu. Alhamdullillah, akhirnya Hj Yusof berjaya diselamatkan dan kerana ajalnya masih belum tiba. Namun yang panik masih agak tergamam dan kaku tidak berdaya berbuat apa-apa. Peristiwa ini menjadi topik hebat sepanjang perkhemahan kami sehingga lah sampai kami kembali ke Bandar Sri Damansara.


Peringatan dan Pengajaran:  Prosidur dan alat keselamatan perlu disediakan serta senantiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.


11 pagi Persediaan untuk makan tengah hari iaitu memasak dan menyiang telah dimulakan dan menu untuk makan tengah hari adalah Nasi putih, Gulai ikan kering, Asam pedas ikan pancing dan Sambal telur. Masakan siap dan dihidangkan dalam jam lebih kurang 12.30 tengah hari.


2 ptg Sebahagian dari peserta nyenyak tidur, sebahagian pergi lagi memancing dan sebahagian yang lain berborak-borak.


3 ptg Tukang masak menyiapkan bahan-bahan untuk menggoreng cucur bilis dan ianya di goreng oleh Chef Di (Ezdy).


4.30 ptg. Solat Asar (Jamak Takhir) dilangsungkan.


5 ptg Sebahagian dari peserta menaiki bot pergi hujung sungai, siap dengan jaket keselamatan untuk bermain apungan ikut arus sungai. Sementara seekor kambing yang sudah siap disembelih yang telah dipesan lebih awal telah dihantar kepada kami. Ianya adalah untuk dipanggang sebagai makanan malam nanti.


6 ptg Api untuk memanggang kambing dinyalakan dan kambing pun di 'marinate'kan dengan menggunakan rempah-rempahan yang sedia ada. Sementara persiapan untuk makan malam dimulakan. Menu malam yang dirancang adalah Gulai Sardin, Daging Rendang Brahim dan Nasi Putih tetapi memandangkan lauk dari tengah hari tadi masih ada ditambah pula dengan makanan-makanan lain yang dibawa oleh Peserta, maka menu tersebut dibatalkan dan tambah dengan Asam Pedas Ikan yang baru dipancing.


7.30 mlm Solat Maghrib (Jamak Taqdim) di laksanakan. Setelah selesai beberapa peserta telah memulakan memanggang kambing. 


8.00 mlm Tiba-tiba hujan. Namun Alhamdullillah kerana ianya membuat malam menjadi agak sejuk dan amat menyamankan. Tetapi hujan tidaklah begitu lebat dan hanya sebentar. Berhenti hujan makan malam disediakan. Namun kambing yang dipanggang hanya separuh jalan kerana api telah padam akibat hujan. Tukang masak telah membuat keputusan untuk memasak sup kambing sahaja dari kambing yang dipanggang separuh jalan tersebut.

9.00 mlm Setelah selesai makan malam para peserta bersantai dan berborak-borak ditebing sungai, dikhemah dan disekitar pantai. Sementara kaki pancing keluar dengan bot lagi untuk meneruskan memancing.


11.00 mlm Sup kambing telah masak dan beberapa orang peserta menikmati sup kambing panggang tetapi sebahagian yang lain telah masuk tidor.


1 pagi Semua peserta telah masuk ke tempat peraduan masing-masing.


4 April 2010

5.30 pagi. Para Peserta dikejutkan dengan seruan azan Subuh oleh salah saorang Peserta. Selesai solat ada peserta terus ke Sungai untuk mandi dan ada yang meneruskan urusan tidor mereka.


7.00 pagi Sarapan pagi mula disediakan. Sarapan hari ini adalah Roti Bakar Telur dan Sausage serta Kopi O.


8.00 pagi Sebahagain besar peserta turun ke Sungai untuk mandi-manda dan bermain-main.


9.00 pagi Para Peserta bersiap-siap mengemas khemah dan membersihkan kawasan.


10.00 pagi Rombongan bertolak balik ke Kuala Tahan dan sampaii di Jeti Kuala Tahan jam lebih kurang 11.00 pagi. Dan dalam perjalanan pulang rombongan telah disinggah di Jerantut untuk makan tengah hari dan kemudian terus bertolak balik ke Bandar Sri Damansara tetapi singgah sebentar untuk Solat Zohor di R&R Lancang.


4.00 ptg Rombongan tiba dengan selamat di Bandar Sri Damansara.


Begitulah catatan ku  mengenai Program Perkhemahan ini yang sangat menyeronokkan. Hilang seketika tekanan kerja dan seribu satu masaalah dunia lain disamping mengeratkan siratul rahim sesama jemaah.















































































Comments

Popular posts from this blog

Mengenai Masjid Al Mukarramah

Ucapan Lemah Lembut pada Orang Tua

Malu Pada Subuh Mereka